Sabtu, 20 Julai 2013

PENDAHULUAN

                  Nyanyian dan muzik boleh mengubah sikap ke arah pencapaian peradaban yang bererti di samping mempunyai kekuasaan tersendiri hingga boleh menukar emosi menjadi terharu, sedih, pilu, menangis bahkan gila. Hal Ini menunjukkan bahawa nyanyian dan muzik sangat rapat hubungannya dengan jiwa manusia. Oleh itu, kesenian ini perlu dikawal dan diberi perhatian supaya tidak merosakkan jiwa dan moral manusia. Islam dari segi falsafahnya menyatakan nyanyian dan muzik haruslah bertujuan ke arah pembentukan peribadi dan sebagai tali penghubung ke arah taqwa kepada Allah. Islam tidak mengizinkan nyanyian dan muzik yang melalaikan manusia dari kewajiban terhadap Allah. Seni yang merosakkan adalah seni sesat yang hukumnya haram dan patut dijauhi.

SEJARAH SENI MUZIK SEBELUM ISLAM

                  
                     Negara Arab selatan merupakan antara negara yang tertua yang mana di dalamnya masih lagi bergema sebahagian daripada kebudayaan-kebudayaan lama. Muzik dan puisi berkembang walaupun tiada penulis-penulis yang menulis tentang perkembangan ini secara khusus dan terperinci. Diceritakan daripada Al-Isfahani bahawa Raja Tubba’ yang terakhir iaitu ‘Als ibn Zaid merupakan orang pertama yang menyanyi di Yaman. Lagu-lagu sebelum Islam di Yaman muncul pada abad ke 19 iaitu ketika zaman Al-Mas’udi yang banyak terpengaruh dengan petikan-petikan puisi Ibn Khurdadhbih. Rakyat Yaman pada ketika itu diperkenalkan dengan dua jenis muzik iaitu Himyari dan Hanafi. Muzik Himyari merupakan muzik yang berbentuk klasik. Antara alat muzik yang digunakan adalah kebanyakannya berasal dari selatan Arab. Antaranya ialah seperti Mi’zaf dan Kus (drum kawah). Sehingga hari ini, orang-orang Arab di Hijaz mengakui bahawa muzik Arab yang terbaik dan sebenar ialah berasal dari Yaman kerana Hadrami Mintrels seorang artis terkenal yang juga berasal dari Yaman. Di ‘Ukaz iaitu salah sebuah negeri di Hijaz, ramai penyajak dan seniman yang mengembara ke seluruh pelusuk semenanjung Arab untuk mencari ilmu pengetahuan dalam bidang kesenian. Di sini juga terdapat bacaan dan nyanyian daripada mu’allaqat yang terkenal. Pada zaman Bani ‘Amaliq, seniwati-seniwati legenda telah dipanggil semula bagi memeriahkan lagi bidang kesenian pada ketika itu. Ahli muzik dari Al-Hijaz didapati berkebolehan dalam pelbagai bidang. Antara alat muzik yang digunakan adalah seperti mizhar, mi’zafa (alat muzik bertali), qussaba (seruling), mizmar dan duff (rebana).

SEJARAH MUZIK PADA ZAMAN RASULULLAH S.A.W



                 Salah satu perkara yang mengusutkan dan membimbangkan pada zaman ini ialah persoalan sama ada mendengar dan bermain muzik itu dibenarkan atau tidak dalam Islam. Bukan mudah untuk memahami bagaimana persoalan ini muncul. Ini kerana dilihat tiada kritikan secara terus yang menentang muzik dalam al-Quran. Lebih daripada itu, patut diketahui kenyataan bahawa muzik merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan sosial masyarakat arab. Dilihat juga sesuatu telah meresap ke dalam jiwa orang- orang arab tentang muzik sehingga Umayya ibn Abi’l Salt yang merupakan seorang yang mementingkan kemoralan dan menganggap hiburan tertentu itu berdosa, tidak menyatakan sesuatu yang menunjukkan dia menghalang muzik.


               Pada masa ini, alat-alat muzik didakwa menjadi suatu perkara yang dapat menguasai manusia kearah keburukan. Ianya juga didakwa dapat menyeru manusia ke arah pemujaan syaitan. Dalam kitab al-Aghani iaitu merupakan salah satu kitab yang terkenal telah menceritakan bahawa tiada halangan yang spesifik keatas muzik pada zaman permulaan Islam.Tradisi atau sejarah ada yang menunjukkan Nabi Muhammad s.a.w bertoleransi dan dapat mene- rima muzik yang berbentuk instrumental. Malahan, perkahwinannya sendiri dengan khadijah diraikan dengan muzik. Begitu juga semasa perkahwinan puterinya, Fatimah. Sejarawan yang terkenal juga ada yang menyatakan bahawa ramai daripada ahli muzik yang menjadi sahabat nabi dan pengikutnya.


                 Pada zaman Harun al-Rashid, ahli-ahli muzik selalunya sukar untuk memperoleh keadilan di mahkamah. Ini kerana, Imam al-Shafi’ memandang rendah kepada keterangan lisan atau bertulis yang dibuat oleh seseorang yang berkecimpung dalam bidang kesenian terutama muzik kerana menurutnya keterangan ahli muzik tidak boleh dipercayai. Apabila diperhatikan kesakitan dan akibat yang bakal diterima oleh ahli-ahli muzik, ada yang berpendapat bahawa kesenian muzik tidak akan berkembang di bawah Islam. Pendapat atau jangkaan ini meleset kerana kesenian muzik juga berkembang pada zaman Islam. Pendapat atau pandangan nabi Muhammad s.a.w terhadap muzik mungkin dapat diterangkan dalam pelbagai sudut. Jenis muzik yang mempunyai puisi yang memuja kehebatan jahiliyyah mestilah dijauhi. Muzik merupakan suatu keperluan kepada pelawat-pelawat ke tanah suci. Terdapat banyak muzik yang dimainkan dalam majlis majlis tertentu dalam kehidupan masyarakat jahiliyyah arab. Muzik dibenarkan jika ianya memberi kegembiraan dan kepuasan dalam suatu majlis seperti majlis pertunangan, perkahwinan, ulang tahun kelahiran dan upacara perkhatanan.


          Salah satu perkara yang harus diambil kira juga ialah semangat yang lahir kesan daripada muzik. Misteri kuasa muzik adalah sesuatu yang dapat dilihat dalam kehidupan masyarakat Arab seharian. Evliya Chelebi iaitu seorang berbangsa turki telah menyebut tiga nama daripada seniman-seniman yang dikatakan telah membuat persembahan muziknya sebelum Islam. Hanya satu nama sahaja yang terdapat beberapa bukti tentang kejayaannya dalam bidang seni muzik ini iaitu ‘Amr ibn Umayyah.

SEJARAH SENI MUZIK ZAMAN KHALIFAH AL-RASYIDIN

                 Seni muzik pada zaman Khulafa’ boleh dikatakan penggunaannya seakan dihalang dan diharamkan. Kebanyakan Khalifah kurang berminat dalam seni muzik. Oleh yang demikian, menurut sejarawan islam moden, sayyid Amir Ali berpendapat bahawa keadaan ini berterusan sehinggalah munculnya generasi-generasi baru.


                Pada zaman Abu Bakar (632-634) boleh dikatakan bahawa muzik adalah suatu yang malahi iaitu kesukaan atau hiburan yang diharamkan. Seniwati yang bekerja sebagai hamba dirumah bangsawan arab mungkin dapat menuruti larangan ini dan tidak melibatkan diri dalam bidang seni. Akan tetapi, seni muzik ini menular dan berleluasa secara terbuka di kedai-kedai arak. Ada antara mereka yang tidak mempedulikan larangan pengharaman muzik. Seniman-seniman yang elegi mungkin dapat bertoleransi dan memahami bahawa sebab-sebab elegi bukan bergantung kepada muzik seperti lagu yang dipanggil "Ghina". Ramai seniman yang telah dihukum kerana seni muzik. Hukuman ini dikenakan ke atas mereka bukanlah disebabkan mereka adalah ahli muzik, akan tetapi kerana mereka telah menyanyi lagu yang berbentuk sindiran dan diiringi dengan mizmar.


                 Pada zaman Umar (643-644), keadaan dan pandangan beliau terhadap muzik sedikit berlainan daripada pandangan Abu Bakar. Umar dikatakan agak boleh menerima seni muzik. Hal Ini kerana, menurut hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah bahawa umar telah banyak mendengar lagu yang didendangkan oleh seniwati pada zaman nabi. ‘Asim iaitu anak kepada Umar adalah seorang yang aktif dalam bidang muzik pada zaman khalifah Al-Nu’man ibn ‘Adi yang juga merupakan penaung atau ketua kesenian.


                Di bawah pemerintahan khalifah Uthman pula (644-656), suatu perubahan yang hebat dari segi politik dan sosial masyarakat arab telah berlaku. Tidak seperti Khalifah Umar yang sudah berpuas hati walaupun tinggal ditangga masjid di Madinah . Sifat Khalifah Uthman ternyata berbeza kerana beliau lebih suka kepada kekayaan. Istana yang besar dan megah, bilangan hamba yang ramai dalam  istana, pedati kuda yang berkilauan dan kehidupan yang mewah menjadi suatu arahan dan gaya hidup bukan sahaja dalam masyarakat Iraq dan Syria, yang sudah sedia maklum telah biasa dengan keadaan ini . Malah ianya juga menjadi gaya hidup masyarakat dii bandar-bandar suci di Hijaz. Dengan adanya dan terbinanya istana-istana dan rumah-rumah golongan bangsawan ini, maka muzik dan ahli muzik mendapat tempat yang tinggi dan istimewa.


                Tidak banyak perubahan yang berlaku pada zaman Ali (656-661). Ini kerana Saidina Ali sendiri seorang seniman dan beliaulah orang pertama yang menubuhkan dan mewujudkan pusat penjagaan yang sebenar kepada kehalusan seni dan surat-surat dengan membenarkan pengajian dalam bidang sains, puisi dan muzik. Bermula daripada saat itu, masa depan muzik terjamin dan selepas pemerintahan zaman khalifah al-Rasyidin, tampuk pemerintahan dikuasai oleh dinasti Umayyah. Pada zaman ini kesenian dikukuhkan lagi secara praktikal di mahkamah.


                  Kedudukan muzik dan ahli muzik, yang disertakan dengan maklumat-maklumat yang menjadi bukti kepada teori dan amali kesenian pada zaman awal pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin ditakrifkan mengikut analisis-analisis yang dikaji. Pada zaman pemerintahan Saidina Uthman, suatu bentuk seni yang baru telah muncul di Hijaz iaitu seniman yang dipanggil seniman professional. Seniman professional pertama di Hijaz terdiri daripada beberapa peringkat yang dikenali sebagai Mukhannathun. Pada mulanya, semua seniman dan seniwati professional berasal dari golongan hamba.

                  Ada yang berpendapat bahawa muzik menjadi bahasa kebangsaan. Akan tetapi, bagi masyarakat Arab muzik tidak dapat dipisahkan daripada lagu. Hal Ini kerana mereka mempunyai kecenderungan dan mudah terpengaruh dengan muzik dan melodi yang asli yang tidak bercampur dengan muzik asing. Mereka juga mempunyai pandangan yang jelas terhadap sistem muzik asli yang berbeza dengan bentuk kesenian daripada Parsi dan Byzantium.Muzik arab pada zaman ini dikenali melalui alat-alat muzik yang mereka gunakan dan melahirkan pelbagai teknik-teknik muzik. Dalam seni muzik klasik, didapati tiada gabungan antara pelbagai alat-alat muzik dalam persembahan walaupun tiada halangan kepada perkara tersebut.

                   Terdapat ramai daripada kalangan sahabat dan kaum kerabat Nabi Muhammad s.a.w yang menjadi penyokong kepada seni muzik. Antaranya adalah seperti Aishah, isteri kepada Nabi, Hassan, cucu Nabi, Sukaina, anak perempuan Hussin, Saad ibn Abi Waqqas, Aishah binti Saad, Mus’ab ibn Zubayr, Aishah binti Talha dan Abullah ibn Jaafar. Abdullah ibn Jaafar merupakan seorang yang sangat aktif dalam seni muzik sehingga beliau menjadikan istananya sebagai pusat pemuliharaan muzik. Beliau juga merupakan penaung kepada ramai ahli muzik yang utama dan terkenal seperti Tuwais, Saib Kathir, Nashit Nafi al-Khair, Budaih al-Malih, Qand dan Azza al-Maila. Penutupan atau berakhirnya zaman khalifah disaksikan dengan pelbagai pengenalan kepada pelbagai jenis muzik yang dikenali sebagai ghina al-mutqan. Ianyaadalah merupakan penampilan istimewa yang menitik beratkan kepada iqa’ atau rentak melodi lagu yang bergantung kepada panjang rangkap sesuatu lagu.


Bahan dipetik dari http://www.ehoza.com
Disunting oleh Hairi Zolkefle (Blog Pendidikan Muzik Malaysia)

0 ulasan:

Catat Ulasan